عن أبي هريرة رضى الله عنه أن رسول الله
صلى الله عليه وسلم قال : إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة
جارية أو علم ينتفع يه أو ولد صالح يدعو له
Maksud hadis :
Daripada
Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya,, Rasulullah SAW telah bersabda :
Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga
perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh
yang berdoa kepadanya.'' (HR Muslim).
PENJELASAN HADITH :
Sesungguhnya
kita diciptakan oleh Allah mempunyai matlamat yang tertentu iaitu agar
kita sentiasa mengabdikan diri kepada Allah serta mentaatinya dengan
melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.
Firman Allah Ta’ala dalam surah Adz –Dzaariyaat ayat 56 , berbunyi :
وما خلقت الجن والإنس إلا ليعبدون
Kira-kira maksudnya:
“Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah-Ku.”Allah
telah menjanjikan pahala bagi mereka yang sentiasa beriman dan
bertakwa kepadanya sebagai jaminan untuk mencium bau syurga dan juga
memberikan dosa dan api neraka kepada mereka yang mengkufuri
perintahnya. Segala amalan kita didunia akan terputus apabila kita
kembali menghadap ilahi. Namun terdapat 3 amalan sahaja yang masih
dterima allah sebagai pahala kita di akhirat nanti meskipun kita sudah
meninggalkan dunia fana ini. Amalan-amalan tersebut adalah:
1) amal jariyah
2) ilmu yang bermanfaat
3) anak soleh yang mendoakan ibu bapanya.
Di
sini jelas menunjukkan kepada kita betapa tingginya nilai rahmat dan
kasih Allah terhadap hambanya, memberikan peluang untuk memperolehi
pahala walaupun kita sudah berada di alam barzakh. Sekarang terserahlah
kepada kita untuk mengambil peluang keemasan ini selagi hayat masih
ada.
AMAL JARIYAHAmal jariyyah menurut bahasa ialah perbuatan yang baik.
Menurut
istilah ulama syara’ amal jariyyah juga di sebut sebagai wakaf iaitu
menahan sesuatu yang bolah dimanfaatkan bagi tujuan kemaslahatan serta
kekal zatnya sebagai
( taqarrub) pendekatan diri terhadap Allah.
Hukum melakukannya adalah sunat.
Firman Allah Ta’ala yang berbunyi :
لن تنالوا البر حتى تنفقوا مما تحبون وما تنفقوا من شيء فإن الله به عليم
Yang kira-kira bermaksud :
Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum
kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang
kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. (Surah Ali ‘Imran, ayat 92)
Amal
jariyah merupakan amalan yang terpuji disisi Allah antaranya ialah
membangun masjid atau sekolah, mewakafkan kitab-kitab bermanfaat kepada
masjid dan lain-lain lagi. Perkara ini ada disebutkan dalam hadith,
riwayat Ibn Majah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang kira-kira
bermaksud:
''Sesungguhnya amal
dan kebaikan yang terus mengiringi seseorang ketika meninggal dunia
adalah ilmu yang bermanfaat, anak yang dididik agar menjadi orang
shaleh, mewakafkan Al-Quran, masjid, membangun tempat penginapan bagi
para musafir, membuat irigasi, dan bersedekah.'' (HR Ibn Majah).
Berikut disenaraikan antara fadilat-fadilat amal jariyyah berbentuk sedekah ialah :
1) Bersedekah merupakan jalan kepada pintu-pintu kebaikan dan menutup pintu-pintu kejahatan.
2) Ikhlasnya bersedekah dapat meringankan kesusahan seseorang.
3) Harta orang yang bersedekah tidak akan berkurangan malah ianya akan bertambah.
4) Dengan bersedekah, kita akan terhindar dari bala dan umur juga diberkati serta menjadi panjang.
5) Merahsiakan sedekah memadam kemurkaan Allah manakala sedekah secara terang-terangan pendinding api neraka.
Oleh
itu, kita diseru agar sentiasa melakukan amal jariyah dengan penuh
keikhlasan kerna ianya bukan sahaja memberikan maslahat kepada
masyarakat amnya.Bahkan pahalanya akan sentiasa mengalir walaupun kita
telah menghembuskan nafas terakhir. Maka tidak rugilah harta yang telah
disedekahkan pada jalan Allah sesuai dengan firman Allah dalam surah
Al-Baqarah, ayat 262 yang kira-kira bermaksud :
Orang-orang yang
menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi
apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan
tidak menyakiti perasaan si penerima, mereka memperolehi pahala di sisi
tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula
mereka bersedih hati.
Dan sabda nabi yang berbunyi :
لا تستحيوا من إعطاء القليل فإن الحرمان أقل منه
Maksudnya :
Jangan kamu malu dengan pemberian yang sedikit kerana tidak memberi langsung lebih sedikit daripadanya.ILMU YANG BERMANFAAT.Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam telah bersabda:
Maksudnya:
Sesiapa yang melalui jalan ke arah menuntut ilmu maka Allah mudahkan untuknya jalan ke syurga. (Hadith Riwayat Muslim)
Pepatah juga ada mengatakan:
Kerjakanlah amal ibadah seolah-olah kamu mati pada keesokan harinya dan tuntulah ilmu tu seolah kamu hidup seribu tahun lagi.
Menuntut
ilmu adalah amat digalakkan tidak kiralah ilmu pengetahuan itu
berbentuk keagamaan mahupun saintifik atau ekonomi. Apa jua ilmu
bermanfaat yang telah kita pelajari sewajarnya kita aplikasikan dalam
kehidupan seharian. Dan amat beruntung lagi jika ilmu sedemikian
disebarkan dan diajarkan dengan meluasnya kepada orang ramai
bersesuaian dengan sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam :
بلغوا عني ولو ءاية
Yang kira-kira bermaksud :
Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat.
Diriwayatkan oleh al-Imam Ibnu Majah daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda:
"Pelajarilah
oleh kamu ilmu faraidh itu, kerana ia adalah sebahagian daripada agama
dan ia adalah setengah daripada ilmu. Ia juga adalah ilmu yang pertama
dicabut daripada umatku"Kedua-dua hadith di atas
menuntut kita agar sentiasa mengajarkan ilmu yang dipelajari kepada
yang jahil dan memerlukan kerana kelebihan menuntut ilmu dan
mengajarkannya itu amat luas di sisi masyarakat dan juga disisi maha
pencipta, Allah Subhanahu Wata’ala.
Sesungguhnya mereka yang
berilmu dan menyembunyikannya adalah termasuk daripada orang-orang
yang rugi. Hidup mereka cuma setakat mendapat kepuasan diri sendiri dan
pahalanya hanya setakat didunia sahaja. Begitu juga mereka yang luas
ilmunya akan tetapi kurang mempunyai adab dalam menuntut ilmu seperti
melawan guru bermegah-megah dan merasakan ilmu yang diperolehinya sudah
cukup hebat, ilmu yang mereka perolehi hanyalah sia-sia dan tidak
mendapat berkat dari yang Maha Esa. Oleh yang demikian, tuntutlah ilmu
dengan penuh adab dan rasa rendah diri kerana sesungguhnya ilmu itu
adalah milik Allah Subhanahu Wata’ala.
Firman Allah Subhanahu Wataala :
قال فإن اتبعتنى فلا تسألنى عن شيء حتى أحدث لك منه ذكرا
Ertinya :
Berkata
Khidr (selaku guru), jika kamu ingin ikutiku maka jangan kamu bertanya
apa-apa sehinggalah aku menceritakannya kepadamu." ( Al-Kahfi, ayat 70)
Ayat
ini tidak bermaksud kita sebagai murid tidak boleh bertanya semasa
waktu pembelajaran, namun adab yang dimaksudkan di sini hendaklah
dengan cara meminta izin terlebih dahulu.
Hadith Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi ada mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa
yang ditanya tentang ilmu lalu dia menyembunyikannya akan diikat
mulutnya (meletakkan kekang di mulutnya seperti kuda) dengan kekang dari
api neraka pada Hari Kiamat."Berlainan dengan mereka
yang ikhlas memberikan ilmu yang bermanfaat sebagai contoh pensyarah dan
guru. Tidak terbatas hanya mengharapkan imbalan gaji yang
diterima.Generasi ilmuan seperti ini perlulah mempunyai hati yang
ikhlas demi mengharap redha dan berkat Allah dalam menjalani kehidupan.
Dan ingatlah Allah Maha Mengetahui apa jua yang kita sembunyikan.
Di
sebabkan nilai keikhlasan amalan seseorang dalam mengajarkan ilmu
mereka inilah, Allah mengangkat darjat para ilmuan dikalangan para
sahabat dan ulama dan menjanjikan pahala yang besar kepada kita baik
semasa kita hidup ataupun telah meninggal dunia.
DOA ANAK YANG SOLEH.Ibu
bapa mempunyai amanah yang besar dalam mendidik anak-anak mereka.Jika
baik tarbiyahnya maka solehlah anak tersebut namun jika sebaliknya, akan
mendatangkan kerugian kepada diri mereka sendiri.
Diriwayatkan
oleh Imam al-Bukhari, dari Abu Hurairah radhiallahu 'anhu, Rasulullah
Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda, maksudnya:
"Setiap anak dilahirkan atas fitrah, maka kedua ibu bapanyalah yang meyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya".Anak
merupakan amanah Allah yang amat bernilai kepada kita bagi mencorak dan
melahirkan generasi yang bakal menerajui dunia yang penuh pancaroba.
Didikan agama yang betul adalah amat dititik beratkan. Insyaallah anak
yang soleh, baik budi pekerti dan agamanya bukan sahaja menjadi harapan
bangsa dan masyarakat Islam malah kepentingannya kembali kepada orang
tuanya itu sendiri. Dengan ini, tidak rugilah mereka yang mempunyai anak
yang soleh dan solehah kerna mereka lah yang akan sentiasa mendoakan
orang tuanya setelah mereka meninggal dunia dan berikutan ini
bertambahlah pahala orang tua tersebut hanya kerana sebuah doa dari
anaknya.
PENGAJARAN YANG DAPAT KITA AMBIL DARI HADITH DI ATAS :1) Islam menggalakkan hambanya agar sentiasa bersifat ikhlas dalam melakukan amalan-amalan yang terpuji.
2)
Galakan terhadap semua umat islam agar menggunakan kesempatan hidupnya
dengan melakukan 3 perkara tadi iaitu amal jariyah, ilmu yang bermanfaat
dan doa anak yang soleh kerana pahala daripada melakukan amalan-amalan
ini tidak akan putus sekalipun kita sudah tiada.
3) Seruan kepada kedua orang tua agar sentiasa menitikberatkan dalam mendidik anak-anak mereka dengan tarbiyah yang baik.
4)
Amal jariyah seperti bersedekah mempunyai fadilat yang banyak
sepertimana yang disebutkan didalam ayat-ayat al-quran dan
hadith-hadith.
5) Ilmu yang berkat adalah bersumber dari
keikhlasan, kecekalan hati dalam menimba ilmu pengetahuan disamping
menjaga adab dan displin ketika belajar.